Wednesday 17 August 2011

Buletin Kembara Riang Ria Pemakanan

Obesiti pelajar dapat perhatian 
Dr Robia Kosai (kedua dari kiri) bermain permainan interaktif bersama pelajar semasa pelancaran program "Kembara Riang Ria Pemakanan" - Gambar oleh Shahrul M. Zain.

MUAR - Peningkatan bilangan murid tahun 1 dan tingkatan 1 yang mengalami masalah obesiti perlu diberikan perhatian segera sebelum ia menjadi masalah yang kritikal. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor, Dr Robia Kosai berkata, mengikut Data Sistem Pengawasan Pemakanan Negeri Johor (SPPNJ) menunjukkan peratus murid tahun 1 yang obes meningkat daripada 6.0 peratus pada 2002 kepada 6.8 peratus pada 2008. 

Menurutnya, manakala pelajar tingkatan 1 yang mengalami obesiti pula meningkat daripada 9.6 peratus kepada 9.9 peratus pada 2008. 

“Masalah ini agak serius dan perhatian segera memandangkan peratusan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun hanya 0.7 peratus pada 2010. 

“Ini menunjukkan bahawa peningkatan berat badan yang berlebihan berlaku kepada kanak-kanak adalah ketika berada di sekolah,” katanya pada ucapan merasmikan pelancaran Kembara Riang Ria Pemakanan Di Sekolah Rendah Negeri Johor di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Kwang Wahyu Parit Jawa. 

Beliau berkata, intervensi awal perlu dimulakan sebaik sahaja kanak-kanak memasuki prasekolah. 

“Masalah obesiti ini menjadikan murid-murid terdedah kepada risiko penyakit diabetes yang sedang menular dalam kalangan murid dan pelajar sekolah. 

“Namun, masalah murid-murid dan pelajar yang mengalami masalah susut berat badan juga perlu diberikan perhatian untuk mengenal pasti kemungkinan penyakit yang dihadapi murid berkenaan,” katanya. 

Robia berkata, beliau berharap setiap murid yang terlibat dapat menyerap dan menyebarkan kesemua lapan mesej utama Kembara Riang Ria Pemakanan terutamanya melakukan aktiviti fizikal mengikut Piramid Aktiviti Fizikal dan yang lebih penting sekali ialah mengurangkan tabiat menonton televisyen sambil makan. 

“Penglibatan pihak swasta dalam Program Kembara Riang Ria Pemakanan adalah cabaran untuk menyahut seruan kerajaan untuk menjadi negara maju dan memiliki rakyat yang mempunyai tahap kesihatan yang baik,” katanya. 

Menurutnya, beliau kagum dengan SJKC Chin Kwang Wahyu itu kerana berjaya menjayakan program intervensi pemakanan iaitu Rancangan Makanan Berkhasiat kepada murid-muridnya. 

“Kerjasama antara ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa Guru-guru dan 12 ibu penyayang sukarela, sekolah ini berjaya menyediakan dan membekalkan makanan yang bukan sahaja berkhasiat tetapi bersih dan selamat untuk murid-murid di sini,” katanya.


No comments:

Post a Comment